Sunday, September 30, 2007

BICARA HARI MINGGU...

HARI ini hari minggu..inilah satu-satunya hari Ahad dalam bulan Ramadhan ini aku sempat berada di rumah...sebelumnya setiap weekend kami di MSD akan memenuhi program Kembara Ramadhan... Itupun dikira 'nasib' kerana cadangan untuk terbang ke Texas pagi ini terpaksa dibatalkan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan ....

Kelmarin petang jam lima baru sampai di rumah dari Ohio...Perjalanan berkereta selama 9 jam - setelah ditolak dengan solat dan sedikit rehat -amat meletihkan..apatah lagi di bulan puasa..Namun aku beri tabik spring kepada 'pilot' kami, Che Mat kerana kelasakan, kekuatan dan ketahannya ...dan yang lebih mengkagumkan kami adalah pengalamannya....seolah-olah dia telah menghafal seluruh liku-liku perjalanan di seluruh kawasan Timur USA ini....Lelucon kawan-kawan : 'Kalau pejam mata pun boleh sampai walaupun tanpa map quest!'

Aku mengharapkan cepat sampai kerana petangnya, bermula jam enam BAKIS merancang untuk mengadakan sambutan Nuzul al-Quran. Aku amat bimbang sekiranya tiba lewat dari jangkaan..nanti apa kata orang...Dan yang lebih penting aku tidak mahu menghampakan orang lain...Aku ditugaskan untuk menyampaikan sedikit tazkirah...

Jika boleh aku mahu sampai lebih awal dari masa majlis bermula...Ini prinsip aku semenjak dulu..entahlah aku terlalu sensitif dengan masa...aku mudah naik angin jika ada orang tidak menghormati masa..walaupun kadang-kadang aku leka dan terbabas juga...

Ketika aku tiba di rumah Encik Hisyam, kurang dua minit jam 6, tetamu sudah agak ramai...mereka adalah antara yang aku kira termasuk dalam golongan yang 'mencemburui masa'....

Badan terasa penat sekali...apatah lagi aku sedikit kurang sihat - diserang batuk dan demam akibat cuaca yang tidak menentu....namun alhamdulillah tugas aku dalam 'Kembara Ramadhan' berjalan agak lancar....Syukur pada Illahi..

Tugas tetap mesti dilaksanakan walau bagaimana keadaan sekalipun...Harapan orang tidak wajar dikecewakan, kecualilah jika terpaksa....Aku selalu berfikir : Bagaimana perasaan kita jika orang mengecewakan kita...Namun ramai yang mahu orang lain menjaga perasaan mereka, sedangkan mereka tidakpun berusaha untuk menjaga perasaan orang lain..

Sambutan Nuzul al_Quran kali ini sangat membanggakan...ramai sambutan..kecuali seorang dua yang tidak dapat datang mungkin dalam keuzuran atau bertugas di luar kawasan..atau paling tidak pun jika ditanya mesti ada jawaban sebagai alasan...

Dari riak wajah yang terpamer, semua nampaknya berpuas hati termasuk tuan rumah Encik Hisyam /Puan Lily suami isteri.. juga ibu beliau yang kebetulan berkunjung ke sini...Bagi pihak BAKIS sangat menghargai kesudian dan kesediaan beliau sekeluarga ....Moga-moga Allah sahaja yang akan membalasnya..

Apabila menyentuh soal ini, aku agak sensitif dan terkilan sebenarnya...Aku dah mohon maaf dan ampun pada kawan-kawan...Yalah dalam soal giliran bertarawikh...aku yang mengatur jadual 'mengambil tindakan' mengenepikan giliran tarawikh di rumahku...tidak seperti tahun-tahun terdahulu...(Alhamdulillah giliran tarawikh dari rumah ke rumah tahun ini terpenuh berkat sokongan semua... Terima kasih atas kerjasama...)

Tindakan ini terpaksa aku lakukan kerana sebuah bilik yang selalunya dijadikan bilik solat jemaah wanita penuh dengan kotak-kotak..jika jemaah ramai tentu menjadi kesukaran untuk mengerjakan ibadat secara selesa dan tenang...Kotak-kotak ini ada yang sudah 'dibungkus' oleh isteriku semenjak Mac lalu lagi...nampak sangat tak sabar nak balik...tapi aku tahu itu persediaan awal...pengalaman mengajar kita supaya tidak terjatuh dua kali dalam satu lopak..kalau ditakdir jatuh juga, apakan daya..kita hanya merancang....

Tugas aku di sini sudah sampai ke penghujung...seminggu selepas Aidil Fiti kami akan meninggalkan negeri 'Bush' ini....Rasanya sudah 'lama' kami di sini...mungkin orang lain tak sabar-sabar lagi untuk datang mengganti....

Empat orang anak-anakku telah dihantar pulang terlebih dulu Jun yang lalu...Tiga tahun lebih 'hilang' kaum keluarga, saudara mara rakan taulan di pandangan mata suatu yang mendera...(Kecuali aku kerana setiap tahun 'mencuri' pulang...)

Lagipun anak-anakku masih dibangku sekolah...seorang putera akan menghadapi PMR, seorang puteri pula SPM tahun hadapan...yang tengah masih tergantung..masuk sekolah memandu untuk memenuhi masa terluang...yang sulung alhamdulillah masuk ke sebuah kolej di ibu kota, hasil sokongan dan bantuan sahabat aku Mr. Asri, big bos telekom di US ini...

Demikianlah sepanjang perjalanan aku di sini, aku merasa amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala kerjaku...Berkat pertolongan kawan-kawan yang tidak dapat disenaraikan satu persatu, kerjaku menjadi licin dan senang...Segala yang dirancang dapat dilaksanakan, walaupun aku pasti tidak semuanya memenuhi kehendak hati...

Kawan-kawan menjadi sahabat untuk bergurau senda pengubat lara..ada yang lebih dianggap seperti keluarga sendiri yang tak mungkin dilupai sampai bila-bila...Harapanku agar bila pulang ke tanah air nanti, jambatan kasih tetap subur dan tidak terkulai di pertengahan jalan....

Sebelum terlupa, tidak terlalu awal rasanya untuk aku sekeluarga mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran (sama ada tutur kata atau gerak badan) kepada semua, halalkan makan minum dan gurau senda yang berlebihan.....

Hanya ini sahaja yang mampu aku luahkan....selebihnya hanya sekadar bicara....


Cedar Mill, Vienna
18 Ramadhan 1428
12.40pm

Saturday, September 29, 2007

KEMBARA RAMADHAN

AKU baru sampai di hotel tumpangan di Cleveland, Ohio tepat jam 11.30 malam, setelah selesai tugasku menemui student di Case Western Reserve University (CWRU). Krew kami dari MSDWDC yang turut disertai Cik Siti Director, Che Zainal, Pak Ya (JPA) serta Che Mat (pilot kami) sebenarnya bertolak dari Vienna (kampung pegawai-pegawai Malaysia) pagi semalam (Khamis).

Kami bertolak jam 8.00 pagi dan tiba di Columbus jam 4.30 petang. Selepas check-in dan solat serta berehat sebentar kami keluar menuju ke Ohio State University(OSU) untuk berbuka puasa serta bertarawikh bersama student di sana.

Sebagaimana biasa setiap kali tiba Ramadhan, aku mengatur jadual untuk menemui student yang sudah aku anggap seperti anak-anak kami sendiri.

Hari minggu lalu(Ahad), aku , Cik Siti dan Pn. Zaimun ke Vanderbilt University di Tennessee. Kami terpaksa terbang kerana perjalanan darat mengambil masa 15 jam lebih ...Jumlah pelajar Malaysia di Vandy kini mencecah 115 orang...dah jadi kampung Melayu (bukan Malaysia kerana semuanya pelajar Melayu!)

Sedangkan pelajar (Malaysia) di RPI & RIT yang kami ziarahi sebelumnya semakin mengecil bilangannya...begitu juga OSU dan CWRU semakin pupus berbanding ketika aku hadir pertama kali tiga tahun lalu... jumlahnya mencecah 60-70 orang lebih. Sekarang di CWRU dah tak sampai 10 orang..semuanya senior... cuma seorang freshman yang akan tinggal nanti...

Namun di Steven Institut Technology New Jersey (SIT)dan Penn State masih ramai lagi...ramai juga Freshmen yang dihantar ke sana tahun ini...

Selama empat kali Ramadhan di sini aku dapat merasai betapa mereka begitu gembira bila kami berkunjung untuk bersama-sama berbuka serta bertarawikh dengan mereka. Aku juga tidak melepas peluang untuk menyampaikan sedikit tazkirah...

Kesempatan kunjungan kami tidak dilepaskan begitu sahaja...ada sesi dialog tidak rasmi...mereka bertanya pelbagai perkara, termasuk soal elaun baru yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini...

Kami selalu tekankan betapa perlunya setiap pelajar menyedari hakikat kehadiran mereka ke sini...tumpukan pada pelajaran, hindarkan perkara negatif, jaga nama baik diri, ibu bapa dan juga negara.

Alhamdulillah, hasil feedback yang diterima daripada pihak universiti, pelajar Malaysia adalah terbaik dan terpuji...cuma satu dua kes kecil dan terpencil... di luar kawalan dan dugaan, memang tak dapat dielakkan....

Aku merasa amat lega kerana misi aku di sini hampir sampai ke penghujung...Besok kami akan kembali dari Kembara Ramadhan ...Petang esok BAKIS merancang untuk menyambut Nuzul al_Quran (Terima kasih En Hisham & Pn Lily -yang sekali lagi bermurah hati menyediakan premis mereka untuk tujuan majlis tersebut).

Kami akan berlepas dari Ohio lebih awal, supaya kami dapat tiba sebelum jam 6.00 petang (waktu majlis bermula). Lewat telefon, isteriku memberitahu: Che Hisham nasihat supaya aku 'terbang' bimbang tak sempat sampai sebelum majlis bermula...

Semoga perjalanan kami dipelihara Allah dan'kembara' kami direstuiNya.....

Sebenarnya aku merasa amat bersyukur kerana 'Kembara Ramadhan' sudah sampai ke penghujung....bererti tugasku hampir selesai - sekaligus beban (amanah) yang dipertanggungjawab kepadaku juga hampir terlucut dari pundakku..

Namun, sebagai manusia biasa, aku mengakui akan kelemahan aku...ketidakupayaan dan kekurangan sedia ada....

Kendatipun aku tetap yakin apa yang diamanahkan kepadaku telah aku laksanakan sekadar yang termampu aku lakukan...

Sebagai seorang insan yang serba kekurangan, aku tetap bersyukur dengan kurniaan kudrat serta 'kemahuan' untuk menunai tanggungjawab yang diamanahkan kepada aku... seboleh-bolehnya aku akan laksanakan sebaik mungkin segala tanggungjawab yang diamanahkan kepadaku...

"Sepatutnya seorang aku tidak boleh menilai kebaikan yang pernah dilakukannya..kerana seorang aku hanya layak dan berhak merenung kesalahan yang pernah dilakukannya... "

Juga seorang aku tidak wajar memikirkan, apakah ganjaran yang sepatutnya aku terima hasil daripada kerja-kerja aku, sebaliknya seorang aku wajar merasa bimbang dan tertanya-tanya: apakah aku telah menjalankan segala amanah dan tanggungjawab sejajar imbuhan yang aku terima??

Aku bimbang kalau-kalau apa yang aku lakukan dan laksanakan selama di sini tidak memenuhi dan mencapai matlamat pihak atasan...dan yang paling aku takuti , ialah apabila aku akan dipersoal di hadapan Rabbul Jalil nanti, kalau-kalau kerja aku selama ini tidak sempurna dan tidak menepati hasrat semua....

Apapun anggapan, tanggapan dan sangkaan aku pasrah dan berserah...kulepaskan keluhan ini melalui wadah...sekadar bicara...

Clevelan, Ohio
17 Ramadhan 1428H
2.28am

Friday, September 28, 2007

SEKADAR MERANCANG

SEBENARNYA aku dalam perjalanan menemui student dalam Kembara Ramadhan..Yahh..itulah antara tugas hakiki aku dihantar ke mari...dan itulah juga antara faktor kenapa aku diminta 'bertahan' sehingga selepas Ramadhan...

Sebenarnya tempoh aku berkhidmat di sini tamat Mac lalu...tapi atas ihsan aku diberitahu sehingga penghujung Jun...kerana satu alasan yang aku sendiri pohon ...untuk memberi peluang anak-anakku menamatkan pengajian mereka...sebab selepas itu sekolah cuti sehingga September...

Namun tanpa aku duga, tiba surat dari KL meminta aku teruskan tugas hingga 31 Oktober...Aku menjadi terkedu...memang tidak aku duga..dan tidak pernah aku berdoa untuk sampai ke tarikh tersebut...Namun sebagai seorang pegawai kerajaan aku wajar mematuhi segala perintah...aku mesti akur segala arahan..walaupun aku sudah mengatur rancangan ....

Apakah aku tidak bersyukur bila diminta untuk meneruskan tugas di sini...Bukankah setiap orang (?) bercita-cita untuk memanjangkan khidmat di sini dengan membuat pelbagai alasan supaya pihak atasan 'terpaksa' meluluskannya??..

Apakah aku manusia aneh yang menolak rezeki yang menggolek tiba..yang akhirnya mungkin membawa sangkaan orang: "Mengada-ada...cuba tak sambung...tentu macam kucing kehilangan anak... "

Bodohlah seorang aku...jika aku katakan aku tidak gembira...atau aku lupa mengucap syukur kepada Allah atas kurniaanNya..atau berterima kasih kepada sokongan bos aku (sama ada besar atau kecil)...Pernah aku berkata: hanya orang yang kurang waras sahaja tidak gembira dengan kurniaan rezeki yang dikurniakan padanya...

Sebenarnya aku menpunyai cita-cita dan hasrat yang sudah lama tersimpan...Sebelum aku ditugaskan di sini...aku ingin terlebih dahulu ke Tanah Suci sehingga aku terpaksa deelay ke sini (Terima kasih sekali lagi kepada bos besar aku kerana memberi kebenaran)...

Namun benarlah kata orang tua-tua: "Agaknya belum sampai seru...". dan aku tidak diterima menjadi tetamu Allah tahun tersebut kerana alasan sudah cukup quota, walaupun segala dokumen dan pemeriksaan doktor telah dilakukan...!

Aku (juga isteri)menjadi amat kecewa...sekadar membujuk hati..."mungkin ada hikmah yang Allah sembunyi...untuk lebih mengcekalkan hati...mentazkiah diri sebelum memijak Tanah Suci.."

Dan tahun berikutnya aku menerima tawaran untuk ke Tanah Suci...tapi bila di sini..halangan dan masalah juga menjadi galang ganti...akhirnya aku memberi alasan...tangguh sehingga aku tamat berkhidmat di sini..

Rancangan sudah diatur....jika datang tidak samapi hajat mengunjungi Kaabah, pulangnya on the way diharap dapatlah mengerjakan umrah...sebelum akhir tahun kembali semula mengerjakan haji di Baitullah....Itulah azam yang ditanam...

Rupa-rupanya sekali lagi kita hanya merancang..Allah jua turut merancang...sesungguhnya perancangan Allah lebih baik daripada perancangan manusia...

Justeru, aku tetap berusaha semoga on the way back nanti aku sempat memijak bumi Mekah..terlalu rindu akan lambaiannya..terimalah hasrat hambamu ini Ya Allah...hanya kapadaMu aku memohon pertolongan...semoga kembara perjalanan pulang kami nanti direstui...

Hanya ini sahajalah yang mampu hambamu lakukan... mengharap dan berdoa, selebihnya....sekadar bicara...


Colombus, Ohio
16 Ramadhan 1428H
11.41 am

Thursday, September 27, 2007

KEMERIAHAN YANG SEMAKIN MENGHILANG...

Hari ini sudah 15 Ramadhan....bererti sudah 15 hari kita menjalani ibadat puasa bagi 1428 Hijriah.

Rasanya masa terlalu pantas berlari. Ini bererti sudah empat kali aku dan keluargaku berpuasa (juga beraya) di perantauan...jauh dari sanak saudara dan sahabat taulan. Dan ini merupakan tahun akhir aku di negara Bush, semenjak kedatanganku ke sini tanggal Mac 2004 yang lalu.

Masih panas terasa kemeriahan Ramadhan tahun-tahun terdahulu...tidak seperti tahun ini...terasa hambar dan tidak berseri...

Entah kenapa, jika dibandingkan dengan tiga tahun lalu, kemeriahannya terasa sekali...Malamnya bagai dinanti-nanti..Tarawikh yang digilirkan dari rumah ke rumah kadang-kadang penuh sesak dan melimpah hingga ke merata penjuru.

Masih kuingat ketika tahun pertama kedatanganku, udara begitu sejuk..Angin yang sekali sekala bertiup menghantar kedinginan yang mencengkam dan menikam hingga ke tulang sumsum. Badan mesti dibalut baju tebal untuk mengelak kesejukan yang menggila...

Namun sambutan Tarawikh tidak sedingin cuaca di luar. Ia sehangat udara di dalam rumah yang dipasang heater. Pengunjung datang membawa keluarga kecil besar untuk menambah kemeriahan! Selesai Tarawikh dijamu pula dengan pelbagai juadah yang dibawa secara potluck.

Terasa benar silaturrahim yang terbina...begitu erat dan mesra...ibarat ikatan sebuah keluarga yang tidak bisa terungkai sampai bila-bila, walaupun sebahagiannya telah kembali ke tanahair...

Tapi kini...cuaca yang sederhana - tidak panas dan tidak sejuk - sambutannya ibarat suam-suam kuku...ada masa meriah dan agak sesak, ada kala dingin dan tidak seghairah dulu...

Mungkin agaknya kemeriahan dulu disokong oleh anak-anak ...Suatu yang tidak boleh dinafi, pegawai-pegawai terdahulu memiliki anak yang agak ramai..anak-anak inilah memeriahkan suasana (walaupun kadang-kadang ada yang merungut mereka mengganggu kelancaran orang beribadah!)

Adakah ini telahan aku semata...kerana aku terasa kesepian sekali Ramadhan tahun ini...sebahagian anak-anakku telah kuhantar pulang terlebih dahulu...kadang-kadang tanpa kusedari airmata tersimpan tepu di kelopak mata, agar jangan tumpah mengocak suasana..kerana aku tahu...sebagaimana perasaanku begitu juga perasaan isteriku dan anak-anak kecilku yang masih bersama...bagaimanalah puasa anak-anakku di sana??

Inilah yang dapat kulontarkan agar dapat dikongsi bersama...kerana itulah yang termampu aku lakukan -Hanya... sekadar bicara......

15 Ramadhan 1428H
7.26am


Wednesday, September 26, 2007

Wasilah Penyambung Bicara

Bermula Gerak Dengan Bismillah,
Memohon Restu DenganMu Ya Allah;
Agar Terhindar Segala Muskilah,
Jurubicara Penyambung Wasilah.

Demikianlah, susahnya untuk memulakan sesuatu...memang susah untuk memulakan sesuatu...(teringat aku sebuah cerpen penulis tersohor Anwar Ridhwan- aku terlupa tajuknya- tetapi yang pasti, kalimat itu diungkap berulangkali) Benar, setelah bertangguh sekian waktu, akhirnya ianya menjadi kenyataan...hobi lama yang sudah lama ditinggalkan...akibat desakan dan dorongan rakan, justeru 'Sekadar Bicara' dijelmakan.

Sekalung terima kasih aku hulurkan kepada UmmySyila yang bersusah payah mencipta 'blog'untukku...juga kepada sahabatku SS Husin Zainudin yang saban hari mencabarku untuk memulakan 'bicara'.

Memang tepat telahan sesetengah orang...bukan senang untuk menulis, sesenang seorang pembaca..apatah lagi untuk mencipta sebuah karya yang disenangi dan menjadi penghibur pengubat lara. Penulis bukan penglipurlara semata...tetapi penulis adalah penyambung bicara sebagai 'wasilah' antara makhluk dengan Khaliq.

Seorang penulis harus berani menampilkan bicara yang benar, walaupun ianya suatu yang pahit. Seorang penulis harus bertanggungjawab kepada penciptaNya...Dengan kata lain seorang penulis mesti mempunyai nawaitu untuk berdakwah: Menyeru dan menyedar manusia ke jalan Allah sambil menegah kemungkaran dan kedurjanaan, agar kembali ke pangkal jalan...

Manusia penulis tidak wajar memilik sifat riak atau sombong dengan ilmu atau ilham (idea) yang Allah kurniakan padanya..menulis bukan untuk mencari/mengharumkan nama (teringat lagu Dwen ?), tetapi penulisan merupakan wadah dakwah yang paling berkesan, dan harus dikemudikan dengan penuh rasa tanggungjawab...

Demikianlah, adalah sukar untuk memulakan kerja ini....semalaman berfikir bagaimana untuk memulakannya. Sudah sekian lama tertangguh....akhirnya 'tugas' dan 'cabaran' mesti diteruskan!

Jam 12.30 malam mata masih liat untuk dipejamkan, walaupun sudah lama terbaring..otak berputar ligat bagaimana untuk memulakannya...Ayat-ayat al-Quran yang dimainkan melalui You Tube terus berkumandang...anak isteri telah lama dibuai mimpi...akhirnya aku 'hilang' sendiri...

Jam 4.00 pagi mata terbuka...rasa ngantuk terus menghilang..tergerak hati untuk bertahajjut...tetapi badan terasa berat untuk meninggalkan katil...segera teringat 'tugas' yang belum 'menjadi'. Aku paksakan diri bangun menuju ke bilik air...mengambil wuduk dan mengerjakan tahajjut juga 'hajat' ; memohon restu pertunjuk jalan kebenaran...

Aku bermunajat kepada Allah supaya menunjukkan jalan kebenaran, dilimpahi rahmat diberikan keampunan: "Ya Allah! Ampunkan dosa aku, juga kedua ibu bapa aku, anak -anak dan isteriku juga muslimin dan muslimat...."

Sesungguhnya memang berat untuk bangun ketika kita lazat di pembaringan...walaupun kita tahu Allah janjikan ganjaran yang berlipatganda, lebih-lebih lagi pada Ramadan Mubarak ini.

Inilah sebenarnya ujian Allah...ujian yang kecil untuk berpisah sekejap dari tilam empuk semata-mata untuk mengembalikan kesyukuran atas nikmat kurniaan Tuhan yang telah mengurniakan kelazatan kita dalam asyik tidur yang lena...berbanding mereka yang mungkin diuji dengan kepayahan untuk merasai kesedapan tidur, akibat sakit atau menderita...

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman'; sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" al-Angkabut:2

Demikianlah, sebagai pembuka bicara...sesuatu 'diyakini' sudah bermula...InsyaAllah ianya akan diteruskan selagi terdaya..bagi anda yang ingin berkongsi bersama...cuma Sekadar Bicara.....

Sept. 26, 2007/
14 Ramadan 1428,
7.55 am