Wednesday, September 26, 2007

Wasilah Penyambung Bicara

Bermula Gerak Dengan Bismillah,
Memohon Restu DenganMu Ya Allah;
Agar Terhindar Segala Muskilah,
Jurubicara Penyambung Wasilah.

Demikianlah, susahnya untuk memulakan sesuatu...memang susah untuk memulakan sesuatu...(teringat aku sebuah cerpen penulis tersohor Anwar Ridhwan- aku terlupa tajuknya- tetapi yang pasti, kalimat itu diungkap berulangkali) Benar, setelah bertangguh sekian waktu, akhirnya ianya menjadi kenyataan...hobi lama yang sudah lama ditinggalkan...akibat desakan dan dorongan rakan, justeru 'Sekadar Bicara' dijelmakan.

Sekalung terima kasih aku hulurkan kepada UmmySyila yang bersusah payah mencipta 'blog'untukku...juga kepada sahabatku SS Husin Zainudin yang saban hari mencabarku untuk memulakan 'bicara'.

Memang tepat telahan sesetengah orang...bukan senang untuk menulis, sesenang seorang pembaca..apatah lagi untuk mencipta sebuah karya yang disenangi dan menjadi penghibur pengubat lara. Penulis bukan penglipurlara semata...tetapi penulis adalah penyambung bicara sebagai 'wasilah' antara makhluk dengan Khaliq.

Seorang penulis harus berani menampilkan bicara yang benar, walaupun ianya suatu yang pahit. Seorang penulis harus bertanggungjawab kepada penciptaNya...Dengan kata lain seorang penulis mesti mempunyai nawaitu untuk berdakwah: Menyeru dan menyedar manusia ke jalan Allah sambil menegah kemungkaran dan kedurjanaan, agar kembali ke pangkal jalan...

Manusia penulis tidak wajar memilik sifat riak atau sombong dengan ilmu atau ilham (idea) yang Allah kurniakan padanya..menulis bukan untuk mencari/mengharumkan nama (teringat lagu Dwen ?), tetapi penulisan merupakan wadah dakwah yang paling berkesan, dan harus dikemudikan dengan penuh rasa tanggungjawab...

Demikianlah, adalah sukar untuk memulakan kerja ini....semalaman berfikir bagaimana untuk memulakannya. Sudah sekian lama tertangguh....akhirnya 'tugas' dan 'cabaran' mesti diteruskan!

Jam 12.30 malam mata masih liat untuk dipejamkan, walaupun sudah lama terbaring..otak berputar ligat bagaimana untuk memulakannya...Ayat-ayat al-Quran yang dimainkan melalui You Tube terus berkumandang...anak isteri telah lama dibuai mimpi...akhirnya aku 'hilang' sendiri...

Jam 4.00 pagi mata terbuka...rasa ngantuk terus menghilang..tergerak hati untuk bertahajjut...tetapi badan terasa berat untuk meninggalkan katil...segera teringat 'tugas' yang belum 'menjadi'. Aku paksakan diri bangun menuju ke bilik air...mengambil wuduk dan mengerjakan tahajjut juga 'hajat' ; memohon restu pertunjuk jalan kebenaran...

Aku bermunajat kepada Allah supaya menunjukkan jalan kebenaran, dilimpahi rahmat diberikan keampunan: "Ya Allah! Ampunkan dosa aku, juga kedua ibu bapa aku, anak -anak dan isteriku juga muslimin dan muslimat...."

Sesungguhnya memang berat untuk bangun ketika kita lazat di pembaringan...walaupun kita tahu Allah janjikan ganjaran yang berlipatganda, lebih-lebih lagi pada Ramadan Mubarak ini.

Inilah sebenarnya ujian Allah...ujian yang kecil untuk berpisah sekejap dari tilam empuk semata-mata untuk mengembalikan kesyukuran atas nikmat kurniaan Tuhan yang telah mengurniakan kelazatan kita dalam asyik tidur yang lena...berbanding mereka yang mungkin diuji dengan kepayahan untuk merasai kesedapan tidur, akibat sakit atau menderita...

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman'; sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" al-Angkabut:2

Demikianlah, sebagai pembuka bicara...sesuatu 'diyakini' sudah bermula...InsyaAllah ianya akan diteruskan selagi terdaya..bagi anda yang ingin berkongsi bersama...cuma Sekadar Bicara.....

Sept. 26, 2007/
14 Ramadan 1428,
7.55 am