Sunday, September 30, 2007

BICARA HARI MINGGU...

HARI ini hari minggu..inilah satu-satunya hari Ahad dalam bulan Ramadhan ini aku sempat berada di rumah...sebelumnya setiap weekend kami di MSD akan memenuhi program Kembara Ramadhan... Itupun dikira 'nasib' kerana cadangan untuk terbang ke Texas pagi ini terpaksa dibatalkan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan ....

Kelmarin petang jam lima baru sampai di rumah dari Ohio...Perjalanan berkereta selama 9 jam - setelah ditolak dengan solat dan sedikit rehat -amat meletihkan..apatah lagi di bulan puasa..Namun aku beri tabik spring kepada 'pilot' kami, Che Mat kerana kelasakan, kekuatan dan ketahannya ...dan yang lebih mengkagumkan kami adalah pengalamannya....seolah-olah dia telah menghafal seluruh liku-liku perjalanan di seluruh kawasan Timur USA ini....Lelucon kawan-kawan : 'Kalau pejam mata pun boleh sampai walaupun tanpa map quest!'

Aku mengharapkan cepat sampai kerana petangnya, bermula jam enam BAKIS merancang untuk mengadakan sambutan Nuzul al-Quran. Aku amat bimbang sekiranya tiba lewat dari jangkaan..nanti apa kata orang...Dan yang lebih penting aku tidak mahu menghampakan orang lain...Aku ditugaskan untuk menyampaikan sedikit tazkirah...

Jika boleh aku mahu sampai lebih awal dari masa majlis bermula...Ini prinsip aku semenjak dulu..entahlah aku terlalu sensitif dengan masa...aku mudah naik angin jika ada orang tidak menghormati masa..walaupun kadang-kadang aku leka dan terbabas juga...

Ketika aku tiba di rumah Encik Hisyam, kurang dua minit jam 6, tetamu sudah agak ramai...mereka adalah antara yang aku kira termasuk dalam golongan yang 'mencemburui masa'....

Badan terasa penat sekali...apatah lagi aku sedikit kurang sihat - diserang batuk dan demam akibat cuaca yang tidak menentu....namun alhamdulillah tugas aku dalam 'Kembara Ramadhan' berjalan agak lancar....Syukur pada Illahi..

Tugas tetap mesti dilaksanakan walau bagaimana keadaan sekalipun...Harapan orang tidak wajar dikecewakan, kecualilah jika terpaksa....Aku selalu berfikir : Bagaimana perasaan kita jika orang mengecewakan kita...Namun ramai yang mahu orang lain menjaga perasaan mereka, sedangkan mereka tidakpun berusaha untuk menjaga perasaan orang lain..

Sambutan Nuzul al_Quran kali ini sangat membanggakan...ramai sambutan..kecuali seorang dua yang tidak dapat datang mungkin dalam keuzuran atau bertugas di luar kawasan..atau paling tidak pun jika ditanya mesti ada jawaban sebagai alasan...

Dari riak wajah yang terpamer, semua nampaknya berpuas hati termasuk tuan rumah Encik Hisyam /Puan Lily suami isteri.. juga ibu beliau yang kebetulan berkunjung ke sini...Bagi pihak BAKIS sangat menghargai kesudian dan kesediaan beliau sekeluarga ....Moga-moga Allah sahaja yang akan membalasnya..

Apabila menyentuh soal ini, aku agak sensitif dan terkilan sebenarnya...Aku dah mohon maaf dan ampun pada kawan-kawan...Yalah dalam soal giliran bertarawikh...aku yang mengatur jadual 'mengambil tindakan' mengenepikan giliran tarawikh di rumahku...tidak seperti tahun-tahun terdahulu...(Alhamdulillah giliran tarawikh dari rumah ke rumah tahun ini terpenuh berkat sokongan semua... Terima kasih atas kerjasama...)

Tindakan ini terpaksa aku lakukan kerana sebuah bilik yang selalunya dijadikan bilik solat jemaah wanita penuh dengan kotak-kotak..jika jemaah ramai tentu menjadi kesukaran untuk mengerjakan ibadat secara selesa dan tenang...Kotak-kotak ini ada yang sudah 'dibungkus' oleh isteriku semenjak Mac lalu lagi...nampak sangat tak sabar nak balik...tapi aku tahu itu persediaan awal...pengalaman mengajar kita supaya tidak terjatuh dua kali dalam satu lopak..kalau ditakdir jatuh juga, apakan daya..kita hanya merancang....

Tugas aku di sini sudah sampai ke penghujung...seminggu selepas Aidil Fiti kami akan meninggalkan negeri 'Bush' ini....Rasanya sudah 'lama' kami di sini...mungkin orang lain tak sabar-sabar lagi untuk datang mengganti....

Empat orang anak-anakku telah dihantar pulang terlebih dulu Jun yang lalu...Tiga tahun lebih 'hilang' kaum keluarga, saudara mara rakan taulan di pandangan mata suatu yang mendera...(Kecuali aku kerana setiap tahun 'mencuri' pulang...)

Lagipun anak-anakku masih dibangku sekolah...seorang putera akan menghadapi PMR, seorang puteri pula SPM tahun hadapan...yang tengah masih tergantung..masuk sekolah memandu untuk memenuhi masa terluang...yang sulung alhamdulillah masuk ke sebuah kolej di ibu kota, hasil sokongan dan bantuan sahabat aku Mr. Asri, big bos telekom di US ini...

Demikianlah sepanjang perjalanan aku di sini, aku merasa amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala kerjaku...Berkat pertolongan kawan-kawan yang tidak dapat disenaraikan satu persatu, kerjaku menjadi licin dan senang...Segala yang dirancang dapat dilaksanakan, walaupun aku pasti tidak semuanya memenuhi kehendak hati...

Kawan-kawan menjadi sahabat untuk bergurau senda pengubat lara..ada yang lebih dianggap seperti keluarga sendiri yang tak mungkin dilupai sampai bila-bila...Harapanku agar bila pulang ke tanah air nanti, jambatan kasih tetap subur dan tidak terkulai di pertengahan jalan....

Sebelum terlupa, tidak terlalu awal rasanya untuk aku sekeluarga mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan keterlanjuran (sama ada tutur kata atau gerak badan) kepada semua, halalkan makan minum dan gurau senda yang berlebihan.....

Hanya ini sahaja yang mampu aku luahkan....selebihnya hanya sekadar bicara....


Cedar Mill, Vienna
18 Ramadhan 1428
12.40pm

No comments: