Saturday, October 6, 2007

DARI BANGGOL BESI KE WASHINGTON DC

TIDAK pernah terbayang dalam hidupku untuk memijak bumi Amerika ini..apatah lagi untuk dipilih bertugas/berkhidmat di bumi 'panas' ini suatu hari nanti...

Demikianlah, anak kampung yang hanya mendapat pendidikan 'pondok', masakan berangan untuk melangkah sebegitu jauh..negara 'mat saleh' pula tu..nanti tak pasal-pasal menerima tempelak orang, 'tak usahlah menjadi mat jenin..!!'

Anak kampung yang bersalut dengan selut, menyerkap ikan keli dan haruan, mengail puyu dan sepat, melastik burung ketitir, menghambat puyuh di sawah, mengheret lembu pawah, mungkin terlalu tinggi angan-angan... yang akhirnya akan menjadi bahan ketawa dan sindiran orang..

Aku masih ingat, sebaik tamat darjah enam SK Tanah Merah, arwah ayah pernah bertanya: 'Nak masuk sekolah omputih ke sekolah Arab..atau sekolah kat rumah (sekolah Melayu le tu...)'

Rupanya ayah pun ada wawasan ketika itu, walaupun aku tahu dia hanya lepasan 'pondok' tanpa sijil...

Entah macam mana aku jawab: 'Sekolah Arab pun tak apa....'

Masa tu ngaji sekolah arab kira 'low class' . Orang lebih berbangga jika anak dapat masuk sekolah omputih, seolah-olah dah dapat masuk universiti...kerja dah terjamin!

Dipendek cerita, akhirnya aku lulus interview (kena temuduga dulu nak masuk sekolah Arab -sekarang ni apply beribu-ribu, yang nak intake hanya sekitar dua tiga ratus sahaja.... sekolah omputih tak payah interview!!).

Aku pun dihantar ke Maahad Mahmud (Maktab Mahmud) di Alor Setar. Jarak dari rumah ke sekolah 26km...Jauh juga untuk mengayuh basikal berulang-alik...lagipun tak praktikal...lalu aku ditempatkan di sebuah 'pondok' di pinggir/berdekatan Taman Malik (rumah kecil macam dangau di tengah sawah)..

Umur aku ketika itu baru 13 tahun...terpaksa berpisah dengan keluarga...hidup sendiri..masak sendiri..basuh pakaian sendiri dan segala-galanya sendiri...hanya hari minggu dapat pulang melepas rindu pada keluarga dan merasai gulai keli rempah giling mak...

Entah berapa kali air mata gugur kerana kadang-kadang nasi yang ditanak mentah atau lembik menjadi bubur...entah berapa kali ikan digoreng menjadi separuh masak dek semawar (sejenis dapur masak) tiba-tiba padam kerana kehabisan minyak...Atau rentung hangit akibat nak cepat kerana tak tertahan rasa lapar...

Selama beberapa tahun di Maahad, aku berpindah randah dari pondok ke rumah sewa ....ikut ajakan kawan-kawan...sama-sama masak..sama-sama makan..kadang-kadang pulang lewat sedikit, makanan habis dibaham kawan...merajuk berkelahi ...akhirnya baik kembali....seolah-olah kehidupan sebuah keluarga terbiar yang kehilangan abah dan ummi....

Banyak pahit manis yang terakam sepanjang enam tahun aku di Maahad (Selepas itu aku ke sekolah asrama penuh - KIK).

Terkenang mamak Karim menjunjung kuih muih, nasi lemak telur sejuris dengan dua tiga ekor bilis, dibungkus daun pisang yang melewati rumah kami setiap pagi dengan laungannya yang nyaring dan lantang...

Adakalanya kawan-kawan nakal mencuri peluang 'mengambil' tanpa bayaran...namun mamak Karim tetap datang dengan suaranya yang lantang....tapi kadang-kadang agak lama menghilang...bila ditanya...pulang menjenguk anak isteri di Tanah Seberang...

Terkenang mamak 'mee tongek' di Pekan Simpang Kuala yang hanya berharga sepuluh sen sepiring...cukup untuk menarik selimut dengan tidur lena menanti hari esok...Teringat ais kepal yang boleh ditambah sirap bila rasanya sudah kurang manis bila dihisap...Masih teringat 'gulai Pak Raja' yang menjadi santapan istimewa kami..terbayang rojak buah dan air sirap yang dijual apek tua di depan Panggung Deluxe . Kini...segala-galanya tinggal kenangan: Pekan Simpang Kuala kini sudah ada dua buah restoran Nasi Kandar...harga sepinggan mee hanya RM3.50 sahaja!!

Masih segar dalam ingatan -walaupun sudah tiga puluh tahun berlalu- ianya kekal menjadi memori indah yang tak bisa dilupakan..

Masih ingat 'kawan sepondok' yang ramai jadi orang: Pak Lah "Dayak" yang minat hindustan, khabarnya sudah jadi DO, Mat Cawan kawan 'cun' Pak Lah sudah jadi usahawan, Mat Sabun yang kelakar, berkelulusan Azhar sudah jadi 'tok guru'...

Datuk Wahab Din yang masa sekelas dengan aku 'koro' dan pemalu pernah jadi setpol MB, Datuk Rahim Hanafi, masa di Maahad badannya kurus melidi, dah jadi Ketua Polis negeri...
Datuk Othman Desa kini Setpol Perdana Menteri... Prof Madya Dr. Fakhruddin Mukhti balik semula jadi lecture setelah tamat tempoh sebagai Director MSD di Mesir...Dr. Mohd Hayati pula jadi MP Pendang...(sekadar menyebut beberapa nama yang agak gah).

Banyak sangat yang jadi tok imam dan tok kadi...atau pegawai pencegah maksiat memburu pasangan khalwat.. atau bertugas di JAKIM, JAPIM dan Jawi atau jadi diplomat dan pengarah beberapa agensi di luar negeri, juga ada yang jadi mualim di sekolah...mungkin juga jadi mudim (Part-time Dr musim cuti sekolah) atau tuk penghulu di mukim...ramai pegawai kanan kerajaan... tapi ramai sangat cebur diri dalam politik sama ada pembangkang atau pro kerajaan...cuma belum ada kawan seangkatan, yang sempat jadi menteri...namun bersyukur tak dengar lagi yang jadi perompak atau pencuri!

Yang pasti tak seorang pun mati kebuluran kerana tak makan atau tiada pekerjaan...kerana banyak yang menceceh dulu..."ngaji pondok tiada masa depan..nanti apa nak makan...lebih-lebih lagi nak pinang anak orang, jangan berangan...nanti mati beragan!! "

Aku juga tidak ketinggalan...tak pernah merasa terkilan...perjalanan hidupku ditentukan Tuhan..walau pernah 'tumbang 'di pertengahan jalan..namun aku cepat-cepat bangun merebut peluang...

Anak Banggol Besi di Washington DC...bukan tujuan membangga diri, cuma mengenang keagungan illahi..betapa benar kalam Illahi: Kita merancang, Allah jua merancang..sesungguhnya perancangan Allah paling baik dan sempurna..(mafhum surah al_Imran:54)

Cuma kini aku membilang hari...pulang dari perantauan ini..tamat sudah tugasku di sini...semuanya kusimpan kenangan melimpah..agar di suatu hari akan kutumpah...melalui wadah...sekadar bicara....

Cedar Mill Ct
24 Ramdahan 1428H
5.00pm

No comments: