Wednesday, October 10, 2007

PENGALAMAN BERADA DI NEGARA BUSH

HARI ini genap tiga tahun tujuh bulan (bermula 10 Mac 2004) aku berada (bertugas) di negara ‘Bush’...

Banyak pengalaman dan pengetahuan dapat dirakamkan. Benar kata orang, ‘jauh berjalan banyak pengalaman’. Sesungguhnya pengetahuan berdasarkan pengalaman sendiri sukar dibohongi.

Masih dalam ingatan sewaktu mendapat tawaran (arahan) bertugas di sini, spontan ibu bersuara agak gusar, “ Tak ada ke tempat lain nak kerja selain negeri Bush?”

Jelas di wajahnya tidak ceria. Walaupun ibu wanita kampung yang dianggap tidak mempedulikan hal ehwal semasa, apatah lagi yang menyangkut politik dunia, namun kemasyhuran ‘Bush’ yang dianggap ganas dan kejam terutama kepada masyarakat Islam dunia sedikit sebanyak mengundang keresahan hatinya untuk melepaskan anaknya pergi.

Tindakan-tindakan yang tidak berperi kemanusiaan dan prasangka buruk yang tidak berkesudahan terhadap orang Islam serta sering mencari sebab untuk bersengketa dengan negara-negara Islam sepanjang pemerintahannya sudah cukup merisaukan hati semua orang.

Apatah lagi tuduhan terhadap militan Islam yang sehingga ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya di atas peristiwa tragis 11 September 2001 sekaligus mengubah persepsi masyarakat Barat terhadap Islam.

Orang Islam dianggap sebagai ‘terrorist’. Penjenayah dan pemberontak serta suka berperang... Islam sentiasa diragui dan dicurigai.

Namun demikian, benarkah semua orang Barat memusuhi orang Islam? Apakah setiap gerak- geri orang Islam diperhati dan diintip? Tidakkah terdapat di kalangan rakyat Bush yang berhati putih dan memprotes tindakan pemerintah mereka?

Sebagai bukti, kekejaman yang ditunjukkan oleh Bush terhadap Iraq mengundang kemarahan yang bukan sedikit daripada rakyatnya. Mereka malah turut mengadakan demontrasi membantah kekejaman berterusan yang dilakukan oleh regim Bush.

Masih banyak sikap terpuji yang boleh dijadikan teladan dan ikutan, yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh penganut Islam sendiri.

Beberapa contoh boleh dijadikan panduan...Semasa di jalanraya umpamanya, setiap pemandu akan mematuhi had kelajuan yang ditetapkan. Tidak berlaku potong memotong jika ingin cepat... atau memarahi pemandu di hadapan dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mengacu-acu penumbuk kepada pemandu yang memandu seperti ‘kura-kura’.

Penjalan kaki dan penunggang basikal diberi keutamaan melintas jalan. Kenderaan berbaris panjang di kiri kanan sementara menanti bas sekolah dengan penuh tanggungjawab mengambil dan menurunkan kanak-kanak sekolah.

Semenjak berada di sini, tidak pernah aku mendengar kanak-kanak sekolah digilis atau dilanggar kereta semasa melintas jalan. Jauh sekali untuk mendengar kanak-kanak mati terjatuh semasa naik atau turun dari bas! Mungkin ada tapi bak kata P. Ramlee: 'jarang-jarang'...

Justeru jarang didengari kemalangan ngeri yang meragut banyak nyawa di sini. Tidak pernah pihak kerajaan melancarkan ‘ops laju’ atau 'ops sikap' atau apa jua kempen untuk mengurangkan kemalangan hatta pada musim-musim perayaan.

Dari aspek keselamatan harta benda, rasanya setiap penghuni rumah merasa terselamat. Aku yang tinggal di Vienna (Virginia), mendapat jiran-jiran yang begitu baik... Rumah –rumah tidak berpagar cuma dipisahkan oleh pokok-pokok bunga yang ditanam dan dijaga dengan rapi. Apabila hendak vocation atau musafir beritahu sahaja jiran...mereka akan menjadi pengawal tanpa bayaran....

Sukar sekali menemui rumah-rumah yang memasang jeriji besi, walaupun dinding dan pintunya daripada cermin kaca yang mudah diketuk orang untuk memasukinya secara ‘haram’. Beberapa kali aku dan keluarga keluar rumah ‘sengaja’ tidak mengunci pintu, namun tetamu tidak diundang ‘tidak sudi’ memasukinya.

Malah jika meletakkan kasut atau basikal yang tak berkunci di luar rumah tidak ada sesiapa yang ingin ‘mengambil’! Kawan-kawan pernah bergurau, ‘kalau di tempat kita, kasut dan selipar buruk pun disapu..’

Teringat aku kebanyakan rumah di Malaysia pasti akan memasang jeriji besi sebagai langkah keselamatan . Tapi akhirnya menjadi mangsa 'api' kerana tiada kesempatan mencari kunci yang entah di mana disimpan...

Budaya ‘I’m sorry’ / ‘excuse me’ / ‘ thank you ’ agak sinonim dengan masyarakat Barat. Selalunya jika mereka merasakan diri melakukan kesilapan, cepat-cepat mereka melafazkan ‘sorry’....

Kadang-kadang kita turut terpinga-pinga seperti tidak percaya, apabila kita tidak sengaja memijak atau melanggar mereka, mereka akan segera berkata ’sorry’. Begitu juga dengan kalimah lain seperti excuse me dan thank you yang sering bermain di bibir mereka.

Banyak lagi contoh baik yang boleh diketengahkan untuk dijadikan teladan, terutama masyarakat Malaysia yang semakin terhakis dengan sikap sopan santun dan budi bahasa.

Nampaknya ‘Budaya Timur’ yang menjadi kemegahan kita selama ini semakin 'membudaya' di negara Barat.

Sikap mudah memberi pertolongan dan ringan tulang, juga sikap sabar serta sanggup mendahulukan orang lain, terutama ketika emergency patut dipuji... Disiplin tinggi di jalan raya, di premis-premis awam, mengutamakan orang-orang kurang upaya...menjaga kebersihan (sehingga sanggup mengutip najis binatang peliharaan dan dimasukkan ke dalam plastik untuk dibuang...) sesuatu yang tidak mungkin dapat dipraktiskan oleh ramai orang termasuk orang Islam sendiri yang sememang (agamanya) mementingkan kebersihan dan kesucian...

Ini tidaklah bermakna, semuanya okey belaka...Ada baik, tentu ada juga buruknya...Ini sudah lumrah dunia...Yang baik jadikan teladan manakala yang buruk jadikan sempadan...paling tidak dapat diterapkan dalam budaya hidup kita sehari-hari...yang semakin bobrak dan kemanusiaannya tidak lagi berperi...laksana kehidupan rimba... yang kuat meratah yang lemah...yang dhaif menjadi mangsa kepada mereka yang rakus...

Semoga menjadi panduan dan ingatan...ingat pesan orang tua-tua... bahawa jangan mudah membuat keputusan baik buruk seseorang dengan sekali pandang...sesungguhnya tidak semua yang dipandang jelik, mungkin sebaliknya tersaji keindahan yang tidak pernah diteroka...manakala yang dirasakan baik, enak dan selesa, tersimpan racun yang berbisa...

Demikianlah sekadar catatan untuk ingatan bersama...selebihnya sekadar bicara....


Washington D.C
28 Ramadhan 1428H
1.04pm

No comments: